Perlawanan akhir beregu lelaki Grand Slam Terbuka Wimbledon akhirnya dimenangi Robert Farah-Juan Sebastian Cabal selepas menundukkan Nicolas Mahut-Edouard Roger-Vasselin dalam pertarungan hampir lima jam di Gelanggang Tengah, awal pagi tadi.

Selepas mengharungi empat set dengan 'tie break', wakil Colombia, Farah-Cabal, mengorak kelebihan dalam set kelima sebelum memuktamadkan kemenangan 6-7 (5-7), 7-6 (7-5), 7-6 (8-6), 6-7 (5-7), 6-3.

Aksi sengit itu berlanjutan selama empat jam dan 57 minit dan permainan terganggu berikutan bumbung ditutup sebelum aksi set penentuan dimulakan.

Ini bermakna perlawanan yang berakhir sekitar 9 malam waktu tempatan itu menyebabkan jadual perlawanan akhir beregu wanita terpaksa ditangguhkan kepada hari ini, iaitu sejurus selepas final perseorangan lelaki di antara Novak Djokovic dan Roger Federer berakhir.

Kekalahan telah membuatkan luka lama Mahut berdarah kembali selepas namanya terkenal ekoran tewas 70-68 kepada John Isner dalam set terakhir pusingan pertama acara perseorangan lelaki di Kelab Seluruh England pada 2010 -- perlawanan terpanjang dalam sejarah sukan itu.

Rakannya, Roger-Vasselin, tidak dapat membendung air matanya pada akhir perlawanan manakala Mahut pula pasti lebih terluka selepas gagal mengelak tiga pukulan dalam perlawanan akhir yang dibanjiri penyokong itu.

Pemain Perancis itu memerlukan rawatan panjang selepas bola terkena dahinya pada awal pertarungan, disusuli dua lagi pukulan dalam set terakhir -- di leher sekali dan satu lagi di bahagian bawah perut.

Bagaimanapun, ia tidak membawa pulangan kemenangan kepadanya untuk menyekat Farah dan Cabal daripada ditabalkan sebagai pemain tenis pertama Colombia yang memenangi kejuaraan utama dalam acara beregu, dan kedua-duanya terbaring meraikan kejayaan di padang rumput itu selain memungut mata tinggi -- 419 mata.