Novak Djokovic menganggap dirinya mempunyai "sokongan yang cukup" daripada penonton Grand Slam Terbuka Wimbledon sejak bertahun-tahun lalu, justeru tidak berminat untuk merungut tentangnya sejuruss melepasi peringkat separuh akhir, malam tadi.

Djokovic -- juara empat kali di Kelab All England -- menundukkan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut, 6-2, 4-6, 6-3, 6-2 untuk menempah tempat dalam aksi penentuan Wimbledon buat kali keenam.

Pemain Serbia itu kebingungan ketika lawannya menikmati sokongan padu daripada hadirin.

Djokovic akan membuat perhitungan dengan Roger Federer dalam final yang amat dinanti-nantikan di SW19.

Ditanya sekiranya dia berasakan "kurang meraih kasih sayang dan penghormatan" daripada penyokong di Gelanggang Tengah, Djokovic menjawab: "Tidak, saya hanya memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan.

"Kadang-kadang mereka menuntut kebangkitan daripadanya (Agut), mungkin untuk memimpin permainan kerana dia adalah pemain 'underdog' dalam pertembungan ini.

"Bagaimanapun, saya telah mendapat sokongan padu di sini sejak bertahun-tahun lalu, jadi saya tidak mahu merungut."

Disoal lebih lanjut mengenai kekecewaannya, pemain berusia 32 tahun itu berkata: "Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Anda melalui detik-detik emosional seperti ini, terutama dalam perlawanan besar seperti ini, ia berlaku sepanjang masa.

"Kadang-kadang saya menunjukkan emosi saya, kadang-kadang tidak.

"Selalunya akan ada sesuatu yang boleh membawa anda keluar dari zon selesa. Kadang-kadang anda berasa kecewa. Jadi, adalah penting untuk bangkit dengan segera."

Bercakap secara khusus mengenai cabaran yang bakal dihadapi ketika berdepan Federer, Djokovic menambah: "Kita semua tahu betapa bagusnya dia dalam mana-mana aksi, terutama di sini. Permukaan gelanggang ini amat sesuai dengan gaya permainannya.

"Dia menggemari corak permainan pantas dan membuatkan lawannya terburu-buru tetapi kelibatnya tidak menentu. Dia hanya membuatkan anda bergegas untuk segala-galanya.

"Saya pernah menentang Roger dalam beberapa perlawanan akhir epik di sini dalam beberapa tahun berturut-turut, jadi saya tahu apa yang perlu dijangkakan."

Federer, juara Wimbledon lapan kali, tumbang dua kali dalam final di gelanggang itu.

Kemenangan tunggalnya ke atas seterunya itu adalah dalam Terbuka Wimbledon pada 2012, iaitu ketika memenangi aksi separuh akhir dalam pertembungan empat set.