Novak Djokovic terkejut dengan laporan yang mencadangkan Roger Federer diangkat sebagai pilihan nombor dua dunia berbanding Rafael Nadal menjelang Grand Slam Terbuka Wimbledon.

Juara bertahan Wimbledon itu dijangka menjadi pilihan utama dalam kejohanan tenis tertua dunia itu yang akan bermula awal minggu depan.

Nadal, yang mengekalkan mahkota Terbuka Perancis di Roland Garros awal bulan ini, kini di belakang Djokovic dalam kedudukan ranking ATP manakala Federer di tempat ketiga.

Bagaimanapun, juara Wimbledon lapan kali, Federer, akan menjadi pilihan kedua dalam kempen di All England Club itu tahun ini, iaitu di depan juara dua kali, Nadal.

Sambil menegaskan pemain harus menghormati proses undian Terbuka Wimbledon, Djokovic bersimpati dengan Nadal yang meluahkan senario itu sebagai "tidak sopan."

"Ya, mereka berbuat demikian, saya maksudkan peraturan itu dan kami harus menghormatinya," kata Djokovic ketika ditanya sama ada penganjur Wimbledon itu menggunakan prosedur berbeza berbanding kejohanan Grand Slam yang lain.

"Secara jujurnya, ia agak mengejutkan walaupun melibatkan Roger.

"Maksud saya, Roger adalah pemain terbaik sepanjang zaman dan dia adalah pemenang terbanyak dalam sejarah Wimbledon dan jika ada orang yang berhak, maka dialah orangnya.

"Tetapi pada masa yang sama, dia mengambil alih kedudukan Nadal sebagai pilihan kedua, jadi ia agak menghairankan tetapi perkara itu sudah pun diputuskan."

Nadal mara ke separuh akhir Wimbledon tahun lalu apabila tewas kepada Djokovic dalam pertarungan epik lima set.