Roger Federer akan "cuba melupakan" kekalahan final Grand Slam Terbuka Wimbledon kepada Novak Djokovic ekoran dua kegagalan meraih mata akhir perlawanan.

Juara lapan kali itu terlepas untuk menjulang kejuaraan kesembilannya selepas tumbang 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3) di Gelanggang Tengah, perlawanan terpanjang dalam sejarah di Kelab Seluruh England itu, tengah malam tadi.

Ketika keputusan 8-7 dalam set penentuan itu, Federer memimpin permainan 40-15 dengan servis di tangannya tetapi gagal memuktamadkan kemenangan.

Buat kali pertamanya, perlawanan akhir Terbuka Wimbledon itu diheret hingga ke mata tie break 12-12 sebelum pemain dari Serbia itu meraih kejuaraan kelimanya selepas berjuang dalam tempoh empat jam 57 minit.

Federer berkata: "Saya akan cuba melupakannya tetapi ia perlawanan yang hebat.

"Ia aksi yang panjang, ia mempunyai segala-galanya (elemen). Saya mempunyai peluang dan begitu juga dengan dia. Saya fikir kami mempamerkan aksi tenis yang hebat.

"Saya sangat gembira dengan persembahan saya tetapi Novak, dia adalah pemain yang hebat, tahniah buatnya. Ini sesuatu yang gila."

Federer, 37, pasti berasa kesal dengan kekalahan 'game' ke-16 itu setelah berhempas pulas sekian lama, namun ketahanannya terus memukau.

Dia menegaskan kegagalan itu tidak akan menyekatnya untuk memburu kejayaan grand slam buat kali ke-21 meskipun dia akan berumur 38 tahun, bulan depan.

"Saya harap dapat memberi peluang kepada orang lain untuk mempercayai bahawa perjuangan saya belum selesai," kata pemain dari Switzerland itu.

"Saya berasa hebat, ia akan mengambil sedikit masa untuk pulih secara fizikal tetapi saya telah mencurahkan segala kudrat dan saya masih berdiri di sini. Saya berharap perkara yang sama untuk semua pemain lain yang berusia 37 tahun."

Keluarganya turut hadir untuk menonton persembahannya dan Federer berkata: "Mereka tidak akan teruja dengan plak (trofi naib juara). Mereka lebih cenderung kepada (trofi) yang keemasan itu. Masa untuk menjadi ayah dan suami semula, segalanya dalam keadaan baik."