Felix Auger-Aliassime akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Gael Monfils, dalam final Terbuka Rotterdam selepas masing-masing meraih kemenangan set straight di peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.

Pemain remaja Kanada, Auger-Aliassime, akan turun memburu gelaran pertama Jelajah ATP selepas dikecewakan tiga kali tahun lalu.

Dia mengesahkan slot ke final menerusi kemenangan 7-6 (7-2), 6-4 ke atas Pablo Carreno Busta dalam pertarungan selama 1 jam dan 49 minit.

Pemain bukan pilihan itu melakukan 16 ace, salah satu daripadanya membantunya memuktamadkan kemenangannya, sambil hanya tiga kali gagal daripada 48 mata yang dipungut menerusi servis pertamanya manakala menyelamatkan kesemua empat break point.

"Saya mempamerkan servis terbaik dalam set pertama, kemudian beraksi dengan baik dalam tie break," kata pemain berusia 19 tahun itu selepas mara final pertamanya di gelanggang keras.

"Dalam set kedua, permainan bertambah menarik dalam game ketiga. Saya fikir, 'jika ia menyebelahi saya, ia akan menjadi situasi yang mungkin sukar buatnya. Jadi, saya terus mengasak."



Sealed with an ?

The reigning champ is back in the @abnamrowtt final!

?: @TennisTV | @Gael_Monfils pic.twitter.com/U6021oqKFV
— ATP Tour (@atptour) February 15, 2020


Monfils pula dipaksa bangkit sebelum merakamkan kemenangan tatkala masih segar dengan kejayaan dalam Terbuka Sud de France di laman sendiri minggu lalu.

Dia menewaskan Filip Krajinovic dalam separuh akhir ketika itu dan mengulangi kejayaan ke atas lawan yang sama dari Serbia berkenaan dengan 6-4, 7-6 (7-5).

"Ia akan menjadi sesuatu yang hebat (untuk memenangi gelaran ini buat sekian kalinya)," kata pemain Perancis itu, yang seperti Auger-Aliassime apabila memuktamadkan kemenangannya menerusi ace.

"Ia akan menjadi kejayaan pertama saya untuk memenangi dua gelaran secara berturut-turut dan boleh menjadi kejayaan berganda pertama saya dalam semusim, jadi ia akan menjadi satu pencapaian besar buat saya."

Monfils, yang hanya menyerahkan satu break point kepada Krajinovic, tidak pernah menghadapi Auger-Aliassime sebelum ini.

"Felix merupakan seorang pemain yang hebat, seorang pemain yang merendah diri," katanya.

"Dia sangat mantap dan cukup berbakat. Saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar, tetapi akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana saya fikir kita mungkin akan melihat kelibatnya lebih lama lagi dalam kejohanan seperti ini.""

Editor: Shaiful Shamsudin