Rekod bersih dalam kemenangan dua sirkit kebangsaan menjadi bekalan bintang tenis meningkat naik wanita negara, Suhana Sofia Adam Das, untuk memburu gelaran dalam Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur 2018 yang sedang berlangsung hingga hujung minggu ini.

Suhana belum tewas apabila beraksi dalam Siri Sirkit Kebangsaan musim ini dengan memenangi pusingan pertama dan ketiga.

Pertindihan jadual dengan kejohanan di luar negara memaksanya untuk melupakan aksi pusingan kedua pada Mac lalu.

Saingan Terbuka Kuala Lumpur merupakan siri keempat daripada enam keseluruhan dalam kalendar Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

"Saya perlu mengekalkan tahap dan corak permainan.

"Saya tidak memikirkan soal kemenangan, hanya fokus kepada bagaimana untuk meningkatkan permainan.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri," katanya.

Jika segala-galanya berjalan mengikut perancangan, Suhana dijangka mencongak perhitungan dengan bekas pemain nombor satu negara, Jawairiah Noordin, di pentas final.

Kali terakhir Suhana berentap dengan Jawairiah adalah pada 2014, iaitu ketika berusia 14 tahun.

"Saya teruja untuk menentangnya, dia lebih berpengalaman. Saya harap dapat menundukkannya dalam perlawanan akhir.

"Setiap perlawanan adalah berbeza, bergantung kepada situasi semasa.

"Bagaimanapun, saya berasa yakin dengan kemampuan sendiri dan kali ini, saya adalah pemain yang berbeza," ujarnya lagi.