Terbuka Hong Kong ditunda gara-gara protes antikerajaan

Oleh Staff Writer 14 September 2019 185
Terbuka Hong Kong ditunda gara-gara protes antikerajaan
Kejohanan Tenis Terbuka Hong Kong dalam kalendar Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) yang sepatutnya bermula 5 Oktober depan terpaksa ditunda gara-gara protes yang berterusan di negara berkenaan.

Rang undang-undang ekstradisi telah menyebabkan rusuhan awam yang berlarutan selama berbulan-bulan di Hong Kong dan protes itu berterusan biarpun undang-undang yang dicadangkan itu telah ditarik balik.

Kejohanan tenis yang sepatutnya berlangsung di Victoria Park itu telah dijadikan venue perarakan antikerajaan berkenaan.

Satu kenyataan dalam laman web rasmi kejohanan berkenaan tertulis: "Berdasarkan keadaan terkini, Persatuan Tenis Hong Kong dan WTA mengumumkan penangguhan Kejohanan Tenis Terbuka Hong Kong 2019. 

"Kejohanan ini tidak lagi berlangsung pada 5-13 Oktober depan.

"Kejohanan Terbuka adalah acara perdana dalam kalendar tahunan kami dan salah satu acara sukan antarabangsa yang paling popular di bandar ini yang menarik ribuan peminat tempatan dan pelancong dari luar negara setiap tahun.

"Sebagai pemenang Anugerah Kejohanan WTA Terbaik tahun lalu, kami berusaha untuk mengekalkan standard yang tinggi buat semua peserta, pemain dan peminat.

"Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan pemegang taruh utama, kami menyimpulkan bahawa perjalanan kejohanan yang lebih lancar akan lebih terjamin pada masa akan datang.

"Pihak penganjur dan WTA sedang dalam perbincangan untuk mengenal pasti minggu alternatif bagi penyelenggaraan acara itu. 

"Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat."

Sebagai rekod, Terbuka Hong Kong kembali ke dalam kalendar WTA pada 2014 selepas 20 tahun tidak tersenarai.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen