Camila Giorgi meraih kemenangan penuh dramatik dalam separuh akhir ke atas Wang Qiang untuk melangkah ke final Terbuka Bronx manakala Magda Linette turut mara semalam.

Giorgi menyelamatkan empat mata perlawanan untuk mengatasi pilihan utama, Wang, 4-6, 6-4, 7-6 (8-6), selepas beraksi selama dua jam 39 minit di Bandaraya New York.

Wakil kelahiran Itali itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam set ketiga dengan menafikan beberapa peluang buat Wang menoktahkan kemenangan.
Dia bakal berdepan Linette, yang mengejutkan pilihan kelima, Katerina Siniakova, 7-6 (7-3), 6-2 dalam separuh akhir.

Linette mara ke aksi penentuan Jelajah WTA buat kali kedua dan tewas kepada Giorgi kali terakhir mereka bertemu pada 2015.