Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki, menamatkan badi dalam Terbuka Australia apabila berjaya menembusi peringkat separuh akhir dengan menjinakkan Elise Mertens di sebalik aksi goyah pada penghujung pertarungan, hari ini.

Pencapaian mara ke separuh akhir 2011 di Melbourne Park terus menghantui pemain pilihan kedua dari Denmark itu yang gagal meraih mata kemenangan dalam set kedua sebelum tumbang kepada juara edisi itu, Li Na.

Bagaimanapun, Wozniacki -- finalis Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebanyak dua kali -- masih berada di landasan tepat untuk merangkul gelaran Grand Slam sulung dalam kariernya menerusi kemenangan 6-3, 7-6 (7-2) ke atas seteru dari Belgium itu.

Wozniacki memulakan aksi di Rod Laver Arena itu dengan penampilan memukau sebelum diancam kekalahan ekoran kegagalannya mengekalkan rentak ketika memimpin pertarungan 5-3 dalam set kedua sebelum terselamat menerusi tie-break.

Pemain berusia 27 tahun itu yang dalam laluan untuk merampas ranking nombor satu dunia pernah mempamerkan kebangkitan luar biasa minggu lalu apabila dia mengecewakan Jana Fett biarpun pada suatu ketika sudah tertinggal 5-1 dalam set penentuan pusingan kedua itu.

Selepas mengatasi seteru terkuatnya yang merupakan pilihan keempat, Elina Svitolina, untuk mara ke separuh akhir, Mertens bagaimanapun sukar meneruskan rentak cemerlangnya.

Kekalahan pemain berusia 22 tahun itu dalam set pertama dipengaruhi oleh kesilapannya sendiri manakala Wozniacki, yang bergelut dengan servis pertamanya yang secara puratanya hanya berjaya 33 peratus, berjaya menemui rentak dalam permainan keempat untuk mendahului 3-1.

Mertens berjaya memberi tekanan dalam set seterusnya, namun belum memadai untuk menggugat kemenangan Wozniacki.

Wozniacki seterusnya akan mengharungi final berdepan pemain nombor satu dunia, Simona Halep, yang menyingkirkan pemain Jerman, Angelique Kerber, 6-3, 4-6, 9-7 dalam satu lagi separuh akhir.

Halep dari Romania memuktamadkan kejayaan dalam percubaan kali keempatnya selepas bertarung selama 2 jam 20 minit selain dipaksa berhempas-pulas selama 69 minit dalam set penentuan untuk meraih dua mata berharga.