Roger Federer berharap dapat menemui rentak dalam tiga pusingan awal Terbuka Australia selepas mempamerkan permulaan cemerlang hari ini.

Walaupun tidak beraksi dalam saringan kejohanan itu, pemain Switzerland itu tampak dalam prestasi terbaik selepas menewaskan Steve Johnson 6-3, 6-2, 6-2 di Rod Laver Arena.

Federer, juara 20 kali grand slam, berkata pusingan awal akan menjadi kunci utama selepas mengelakkan perlawanan kompetitif bagi menghadapi kejohanan utama pertama tahun ini.

"Saya tidak beraksi dalam perlawanan sebenar selama beberapa minggu dan ramai pemain yang berada di sini, mungkin 95 peratus, hadir selepas beraksi sebelum ini. Saya bukan salah seorang daripada mereka," katanya.

"Kini, saya sudah melalui satu perlawanan. Menang tiga set, ia lebih bagus. Saya benar-benar fikir tiga pusingan awal adalah kunci untuk teruskan kemaraan, menyesuaikan diri dengan tekanan, kekal tenang tidak kira dalam apa jua situasi walaupun terikat 30-30 atau ketinggalan.

"Situasi ini kadangkala membuatkan anda berasa tergugat tetapi hari ini ia tidak berlaku kerana saya cemerlang sejak awal permainan dan dapat mengawalnya, beraksi dengan bebas. Saya dapat rasakannya.

"Apa sahaja yang saya lakukan, saya fikir perlu pastikan perlawanan dalam kawalan. Mungkin situasinya berbeza dalam pusingan seterusnya, jadi saya perlu berhati-hati.

"Pusingan demi pusingan, mata demi mata secara mental. Saya tahu pemain lain beraksi dengan baik ketika ini, jadi saya fikir penting untuk terus kekal tenang."

Federer menampilkan aksi memukau ketika menentang Johnson, dengan mencipta 34 mata kemenangan dan 20 kesilapan yang tidak dipaksakan.

Ditanya mengenai kelajuan aksi di atas gelanggang, dia berkata ia sama dengan saingan di Melbourne Park tahun lalu.

"Saya fikir bola menjadi laju apabila masih baru. Ia ditukar beberapa kali dalam sesetengah perlawanan bergantung kepada lawan yang dihadapi, berapa tempoh 'rally' yang berlaku," tambahnya.

"Namun, saya boleh katakan dua atau lebih perlawanan, ia boleh jadi pantas. Bola akan jadi lebih cepat berbulu apabila melibatkan 'rally' panjang. Saya fikir sesi waktu malam, dalam dewan atau hari yang sejuk akan disaksikan minggu depan dan ia akan memperlahankan aksi. Itu yang berlaku.

"Saya fikir ia bergantung kepada bagaimana anda beraksi, cara mengawal permainan dan lawan yang dihadapi. Ia juga melibatkan corak permainan, itu pendapat saya."




Editor: Nafis Abdullah