Serena Williams menegaskan bahawa Tennys Sandgren harus memohon maaf kepada "segolongan masyarakat" berikutan aktiviti media sosial pemain berusia 26 tahun itu yang mengundang kontroversi.

Kejayaan Sandgren yang mempamerkan kejutan dalam Grand Slam Terbuka Australia apabila mara ke peringkat suku akhir -- pertama kali melepasi pusingan pertama Grand Slam -- telah dibayangi dengan satu pautan di Twitter yang mengaitkannya dengan satu gerakan perkauman.

Sehubungan itu, pemain berusia 26 tahun itu mempertahankan dirinya pada Isnin lalu dengan mengatakan dia didorong oleh "beberapa kandungan yang menarik" dalam pautan itu, namun menegaskan dia bukanlah penyokong gerakan itu.

Sandgren kemudian mengalihkan perhatiannya kepada media selepas pengembaraannya di Melbourne berakhir di tangan Hyeon Chung dengan menuduh wartawan sebagai "mesin propaganda".

Bintang Amerika Syarikat (AS), Serena, yang memenangi 23 gelaran Grand Slam bersikap sinis di dalam Twitter sebelum kekalahan Sandgren itu: "Tukar saluran."

Dia kemudian menulis kepada rakan senegaranya itu: "@TennysSandgren Saya tidak memerlukan atau menginginkannya tetapi ada sekelompok orang yang layak mendapat permohonan maaf daripada anda.

"Saya tidak dapat membayangkan apabila saya memberitahu anak perempuan saya bahawa saya hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri.

"Tidak, dia perlu tahu bagaimana untuk mempertahankan diri dan orang lain melalui teladan saya."

Serena sempat memuat naik satu petikan di dalam laman sosial itu yang berbunyi: "Kematangan adalah kesanggupan meminta maaf dan mengakui silap anda kerana anda tahu bahawa kesilapan itu tidak mencerminkan anda."