Serena Williams melepasi halangan hebat pemain nombor satu dunia, Simona Halep, bagi melangkah ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne, hari ini.

Serena hanya melepaskan sembilan game dalam laluannya ke pusingan keempat dan dilihat mampu memenangi satu lagi aksi sukar di Arena Rod Laver, namun dia dipaksa mengerah segala kudrat yang ada sebelum memenangi pertembungan klasik itu 6-1, 4-6, 6-4.

Pemain legenda Amerika Syarikat (AS) itu sentiasa diberikan tekanan oleh pilihan utama kejohanan berkenaan ketika dia berusaha untuk menyamai rekod 24 kejuaraan utama milik Margaret Court.

Halep bangkit selepas tewas dalam set pertama, namun Serena menyelamatkan tiga 'break point' bagi mengikat kedudukan 3-3 dalam set terakhir.

Serena kemudian terus dihujani ujian getir sebelum melengkapkan kemenangan.

Dia akan berdepan Karolina Pliskova dalam perlawanan suku akhir ke-50 kejohanan grand slam sepanjang kariernya.

Sebagai rekod, Serena kini memenangi sembilan daripada 10 pertemuan terakhir manakala Halep yang juga penyandang juara Terbuka Perancis berdepan risiko kehilangan status sebagai pemain nombor satu dunia.