Pusingan kelayakan Kejohanan Tenis Terbuka Australia hari ini terpaksa ditunda kerana kualiti udara yang berbahaya susulan kebakaran hutan yang melanda Australia menjejaskan Melbourne.

Perlawanan yang sepatutnya berjalan pada jam 10 pagi waktu tempatan itu terpaksa ditunda selama sejam kerana asap tebal yang melanda venue kejohanan.

Kebakaran itu mula melanda Australia sejak beberapa bulan lalu dan ia menimbulkan kegusaran mengenai keselamatan pemain dan penonton dalam kejohanan grand slam pertama berkenaan.

Kualiti udara menjejaskan kejohanan itu dengan Terbuka Australia mengumumkan bahawa sesi latihan pagi ini turut dibatalkan.

"Sesi latihan pagi ini dibatalkan buat sementara waktu kerana kualiti udara yang tidak baik," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

"Pusingan kelayakan akan bermula pada jam 11 pagi.

"Keadaan semakin baik dan sentiasa diawasi.

"Keputusan lanjut akan dibuat berdasarkan data semasa dan nasihat daripada pasukan perubatan kami, Biro Meteorologi dan saintis daripada EPA Victoria.

"Seperti kebiasaan, kesihatan dan keselamatan pemain kami, kaki tangan kami dan penyokong kami adalah satu keutamaan."

Kualiti udara di Melbourne mencapai tahap "berbahaya" dan "amat buruk" sejak tengah malam tadi berdasarkan bacaan Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar Victoria.



Editor: Muzaffar Musa