Rafael Nadal mengesahkan laluan ke separuh akhir Terbuka Australia menerusi kemenangan straight set ke atas Frances Tiafoe dalam aksi di Arena Rod Laver, hari ini.

Pemain muda Amerika Syarikat, Tiafoe, menyinar dalam kempen di Melbourne sehingga ke suku akhir -- yang menjadi pencapaian paling baiknya di pentas grand slam -- tetapi kualiti dan pengalaman menjadi pemisah ketika berdepan Nadal.

Nadal tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 yang disudahkan dalam tempoh sejam 47 minit, sekali gus meraih aksi separuh akhir keenam di Melbourne dan ke-30 di pentas grand slam buat pemain berusia 32 tahun itu.

Bintang Sepanyol yang hanya memenangi satu daripada 17 kejuaraan grand slam di Melbourne itu kini bakal berdepan jaguh baru, Stefanos Tsitsipas, untuk menentukan tempat ke final Ahad ini.

Nadal mengetepikan Tiafoe dengan persembahan cemerlang dalam 10 minit pertama berbekalkan kualiti, kekuatan serta ketepatan setiap pukulan, menyudahkan game kedua apabila lawan melepaskan pukulan ke jaring selepas aksi yang panjang.

Tiafoe wajar meraih pujian susulan menyekat beberapa pukulan Nadal tetapi pemain berpengalaman Sepanyol itu memiliki kelas tersendiri dalam setiap servis untuk menamatkan set pembukaan.

Permulaan buruk Tiafoe berterusan dalam set kedua di mana dia gagal untuk menyudahkan tiga servis pertama sehingga dihukum Nadal dengan melengkapkan kemenangan bersih.

Tiafoe gagal mengutip sebarang mata dalam servis pertama Nadal sehingga game keempat dalam set kedua dan beberapa pukulan kurang kemas serta kesilapan mudah menyebabkan pemain Amerika Syarikat itu menghadiahkan dua mata penamat.

Tiga mata akhir set hadir apabila servis Tiafoe gagal diselamatkan tetapi servis game seterusnya daripada Nadal -- berbekalkan senjata pukulan silang deras yang dimiliki -- membolehkannya melengkapkan tugas.

Mata penamat pantas muncul di permulaan set ketiga dan segalanya berakhir apabila Tiafoe mensia-siakan servis dalam game ketujuh tatkala Nadal menghadiahkan beberapa pukulan deras buat pemain berusia 21 tahun itu.

Aksi cemerlang Nadal berterusan sehingga perlawanan tamat dan dia jelas berada dalam prestasi terbaik untuk melakukan perhitungan dengan Tsitsipas.