Naomi Osaka melangkah ke separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia selepas menjinakkan Elina Svitolina, sebentar tadi.

Juara Terbuka Amerika Syarikat itu mengungguli Svitolina dalam kemenangan 6-4, 6-1 menerusi persembahan mengagumkan di peringkat suku akhir di ArenaRod Laver.

Osaka, pilihan keempat berusia 21 tahun, tampil dengan aksi agresif dan ternyata terlalu handal untuk ditangani pilihan keenam itu.

Svitolina, yang menundukkan Osaka sebanyak dua kali tahun lalu, gagal melepasi suku akhir Grand Slam buat kali keempat dan memerlukan rawatan dalam set kedua.

Sehubungan itu, Osaka akan menghadapi sama ada Serena Williams atau Karolina Pliskova dalam separuh akhir.

Selepas saling melakukan beberapa pukulan yang agak selesa, Osaka memimpin set dengan kedudukan 5-3.

Dengan servis di tangannya untuk mengesahkan kemenangan set pertama, Osaka mempamerkan beberapa pukulan goyah di kedudukan 30-15, lantas membenarkan Svitolina untuk kembali merampas servis.

Apa yang mengejutkan, Osaka melepaskan 0-40 dalam game seterusnya, namun selepas itu dia menyambut servis lawannya dengan baik dan pukulan kilas Svitolina yang tersangkut di jaring membolehkan pemain Jepun tersebut memuktamadkan kemenangan set pertama.

Osaka pantas memperoleh kelebihan 3-0 dalam set kedua sebelum Svitolina terpaksa menjalani rawatan berikutan masalah di bahagian bahu dan lehernya.

Begitupun, situasi itu tidak menyekat Osaka untuk menamatkan aksi luar biasanya dengan kemenangan dalam tempoh sejam 12 minit.