Naomi Osaka mara ke suku akhir kejohanan grand slam buat kali kedua selepas mengatasi cabaran getir Anastasija Sevastova dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne, hari ini.

Pilihan keempat kejohanan itu mengatasi Sevastova 4-6, 6-3, 6-4 dengan prestasi di luar kebiasaan dalam saingan pusingan keempat di Arena Rod Laver.

Penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu beraksi longlai di awal permainan, namun bangkit pada waktu yang tepat untuk meraih kemenangan.

Sevastova -- pilihan ke-13 yang memburu laluan ke suku akhir kejohanan grand slam buat kali keempat sepanjang kariernya -- memaparkan sinar gemilang menerusi pendahuluan 2-1 dalam set pembukaan.

Osaka, yang dipaksa mengerah keringat menerusi aksi tiga set ketika berdepan Hsieh Su-wei dalam pusingan ketiga, kelihatan keletihan dengan melakukan 17 'unforced-error' dalam set tersebut.

Sedar memerlukan kebangkitan segera, Osaka memperkemaskan aksi untuk membawa game keenam ke penentuan 'tie-break' dalam set kedua.

Kekuatan pukulan kilas jelas membantu bintang Jepun itu mendahului 4-2 dalam set tersebut.

Dia kemudian meraih mata getir pada game kesembilan selepas mengungguli rally 23 pukulan dan seterusnya membawa perlawanan ke set penentuan.

Osaka meneruskan aksi garang dalam set ketiga, namun faktor keletihan memaksanya melepaskan mata dalam game keenam yang berlangsung panjang.

Bagaimanapun, Osaka kembali mendahului 4-3 dan meneruskan rentak konsisten untuk menamatkan permainan dengan kemahiran pergelangan tangan menarik di penghujung aksi.

Osaka akan bertemu pilihan keenam kejohanan, Elina Svitolina, dalam perhitungan suku akhir pertamanya di Melbourne.