Terbuka Australia: Osaka ke pusingan ketiga atasi Zheng

Oleh Staff Writer 22 Januari 2020 56
Terbuka Australia: Osaka ke pusingan ketiga atasi Zheng
Juara bertahan, Naomi Osaka, mara ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Terbuka Australia apabila menewaskan Saisai Zheng di Melbourne sebentar tadi.

Dalam cuaca terik dan berangin, pemain pilihan ketiga itu menewaskan pemain China, Zheng, 6-2, 6-4 di Arena Margaret Court.

Bintang Jepun itu akan berdepan sama ada pemain muda sensasi, Coco Gaouff, atau Sorana Cirstea di Melbourne Park.

Osaka bermula baik dengan mendahului 2-0 dalam game kedua sebelum melakukan pukulan terus yang terkeluar.

Zheng kembali menyamakan kedudukan ketika servis di tangannya, namun kesalahan servis berganda yang dilakukannya kembali meletakkan Osaka di depan sebelum pemain Jepun itu menguasai gelanggang dengan ketepatan pukulannya untuk menamatkan set berkenaan dalam tempoh 34 minit.

Osaka mempertahankan dua mata break dalam game pembukaan set kedua tetapi Zheng terus memperoleh peluang ketika servis di tangan juara grand slam dua kali itu.

Zheng, yang turut menyelamatkan satu mata break ketika terikat 1-1, akhirnya mendahului 2-1.

Permainan berdisiplin yang dipamerkan pemain China itu kerap mengecewakan Osaka, yang melempar dan menyepak raketnya sebelum meminta waktu rehat.

Kedua-dua pemain itu kemudian saling mengejar mata dan Osaka sering memudahkan Zheng dengan 'unforced error' yang dilakukannya.

Juara bertahan itu kemudian mula bertenang untuk menamatkan perlawanan selama sejam 20 minit itu dengan kemenangan.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen