Aksi mempesona terus dipamerkan Naomi Osaka selepas dia mengatasi aksi goyah dalam set kedua untuk bangkit menewaskan Petra Kvitova dalam aksi final dramatik Terbuka Australia di Melbourne, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Osaka meraih kejuaraan grand slam kedua berturut-turut dan meraih takhta nombor satu ranking Persatuan Tenis Wanita (WTA).

Osaka melepaskan tiga mata akhir ketika servis dipegang Kvitova pada kedudukan 3-5, 0-40 dalam set kedua.

Namun, pemain Jepun itu memaparkan aksi penuh sensasi untuk memenangi perhitungan di Arena Rod Laver itu.

Walaupun dilihat penuh beremosi sebaik lawannya itu memenangi empat game berturut-turut bagi membawa perlawanan ke set penentuan, Osaka berjuang habis-habisan untuk kembali menguasai gelanggang dan akhirnya memenangi pertarungan epik itu 7-6, 5-7, 6-4.

Pemain berusia 21 tahun itu meraih kejuaraan grand slam pertamanya dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu yang dipalit insiden ketegangan di antara Serena Williams dan umpire perlawanan, Carlos Ramos, dengan Osaka turut diejek penyokong dan dilihat menangis dalam wawancara pasca-perlawanannya.

Bagaimanapun, tiada sebarang insiden timbul untuk menghalang keraian Osaka menerusi kejuaraan terbarunya kali ini.

Dia turut melebarkan rekod kemenangannya ke tahap tertinggi menerusi penguasaannya dalam 14 perlawanan.

Dia juga menyamai rekod yang dilakar Jennifer Capriati pada 2001 sebagai pemain wanita pertama meraih dua kemenangan grand slam pertama secara berturut-turut.

Takhta pemain nombor satu dunia yang kini digalas pemain itu tidak dapat disangkal lagi.

Kvitova, yang juga juara Kejohanan Wimbledon pada 2011 dan 2014, meneruskan pemburuan penamat dongengnya dalam kejohanan itu.

Pemain kelahiran Republik Czech itu tidak melepaskan sebarang set menjelang aksi berdepan Osaka.

Dia dilihat berkobar-kobar untuk meneruskan rekod itu dalam aksi final, namun impiannya itu terganggu walaupun sentiasa memaparkan perwatakan luar biasa.

Lapan "break point' -- lima buat Kvitova dan tiga buat Osaka -- menjadi sajian buat penonton menjelang penentuan 'tie-break' dalam set pertama.

Osaka, yang sekadar menjadi pemain ke-72 dunia dalam kejohanan sama tahun lalu, bergelut untuk membaca servis awal Kvitova.

Bagaimanapun, dia kembali mendapatkan rentak sebelum memenangi set tersebut menerusi kemahiran pergelangan tangan yang mempesonakan.

Pemain muda itu kemudian mendahului 2-0 dalam set berikutnya dan dilihat mampu untuk menamatkan pertarungan dalam set kedua.

Namun, keadaan bertukar genting untuknya ketika Kvitova bangkit daripada kedudukan 0-40 untuk membawa perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 7-5.

Kvitova meneruskan rentak garang itu dengan memenangi game pertama dalam set ketiga.

Namun, Osaka memaparkan aksi yang lebih tenang dalam keadaan bertekanan tinggi itu.

Osaka bangkit untuk menebus kembali kesilapannya dalam set kedua sebelum memutlakkan kejuaraan menerusi kemenangan 6-4.