Rafael Nadal tidak menganggap aksi separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia menentang bintang masa depan, Stefanos Tsitsipas, berbeza dengan perlawanan lain.

Pemain Sepanyol itu lolos ke pusingan separuh akhir di Melbourne Park itu semalam -- peringkat yang menyaksikan dia hanya tewas sekali, iaitu pada 2008 -- dengan kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 ke atas pemain bukan pilihan, Frances Tiafoe, di gelanggang Arena Rod Laver.

Untuk aksi seterusnya, pilihan kedua kejohanan itu akan bertembung dengan seorang lagi bakat muda, Tsitsipas, yang mengetepikan juara enam kali, Roger Federer, dalam laluannya ke separuh akhir saingan Grand Slam itu.

Begitupun, Nadal tidak akan mengubah pendekatannya sempena penampilan ke-30 di peringkat separuh akhir.

"Saya akan beraksi dalam satu lagi perlawanan tanpa mengira sama ada mereka adalah bintang baru atau tidak," kata juara Grand Slam sebanyak 17 kali itu.

"Bagi saya, apa yang penting ialah memenangi pertarungan dan mencipta peluang kepada diri sendiri untuk berada dalam pusingan seterusnya. Itulah perasaan saya di peringkat kerjaya hari ini.

"Saya sedar mereka adalah pemain yang bagus. Saya tahu mereka akan berjuang untuk meraih pencapaian paling besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Saya tidak menganggapnya begitu. Itu sahaja.

"Ini adalah satu lagi perlawanan berbeza. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, saya akan cuba melakukan perkara yang sepatutnya. Saya akan cuba melakukannya dengan baik agar saya dapat mencerahkan peluang."

Tambah raja gelanggang tanah liat itu: "Saya telah beraksi dengan baik, saya banyak mempamerkannya sepanjang seminggu setengah ini. Ayuh kita lihat nanti. Saya tidak tahu, saya tidak dapat meramalkan apa yang boleh berlaku.

"Saya hanya akan turun beraksi hari demi hari dan sangat gembira dengan permulaan yang dibuat.

"Saya sangat positif dengan corak permainan sendiri untuk berada dalam separuh akhir ini, itulah satu-satunya perkara yang boleh saya katakan, maka saya akan cuba dan bersedia untuk melakukannya."