Rafael Nadal dan Daniil Medvedev mengesahkan tempat dalam pusingan ketiga Kejohanan Terbuka Australia sambil Stan Wawrinka turut meneruskan cabaran.

Nadal kekal di landasan terbaik dalam usaha memenangi kejuaraan grand slam ke-20 walaupun mensia-siakan peluang ketika menentang Federico Delbonis di Melbourne hari ini.

Barisan pemain pilihan tidak berdepan masalah dalam pusingan awal di Australia dan mudah melepasi halangan minggu pertama.

Medvedev, Alexander Zverev dan Wawrinka juga antara pemenang dalam kelompok atas undian.

Nadal hanya perlu menyempurnakan tiga daripada 20 mata break untuk menundukkan Delbonis 6-3, 7-6 (7-4), 6-1.

Bintang Sepanyol itu banyak melepaskan peluang sebelum menang dalam tempoh 2 jam 30 minit tatkala dia meminta maaf dengan memberi ciuman buat pengutip bola selepas pukulannya terkena perempuan itu.

Nadal bakal bertemu pilihan ke-27, Pablo Carreno Busta, yang mengatasi cabaran pemain dari Jerman, Peter Gojowczyk, 6-4, 6-1, 1-6, 6-4.

Sebelum ini, Nadal memenangi kesemua pertemuan dengan Carreno Busta.

Sementara itu, naib juara Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu yang juga merupakan pilihan keempat, Medvedev, jelas terlalu kuat buat wakil Sepanyol, Pedro Martinez, apabila mudah menang 7-5, 6-1, 6-3.

Zverev turut menepati ramalan apabila menundukkan Egor Gerasimov 7-6 (7-5), 6-4, 7-5 dan dia bakal bertemu Fernando Verdasco selepas pemain veteran Sepanyol itu mengecewakan pilihan ke-26, Nikoloz Basilashvili, menerusi aksi empat set.

Wawrinka, juara edisi 2014, dipaksa bekerja keras oleh Andreas Seppi tetapi pemain Switzerland itu melengkapkan kemenangan ke-10 dalam 14 pertemuan dengan wakil veteran dari Itali itu selepas mencatat 4-6, 7-5, 6-3, 3-6, 6-4.

John Isner menanti Wawrinka dalam aksi seterusnya selepas wakil Amerika Syarikat itu menang 6-4, 6-3, 6-3 ketika berdepan pemain Chile daripada saingan kelayakan, Alejandro Tabilo.

Dominic Thiem selaku pilihan kelima dan David Goffin (11) dipaksa beraksi dalam lima set sebelum mengatasi halangan Alex Bolt dan Pierre-Hugues Herbert.



Editor: Nafis Abdullah