Rafael Nadal mara ke final Terbuka Australia buat kali kelima selepas merakamkan kemenangan bergaya 6-2, 6-4, 6-0 ke atas Stefanos Tsitsipas, sebentar tadi.

Pemenang grand slam 17 kali itu kembali cemerlang beraksi di gelanggang keras sejak 12 bulan lalu tetapi gelaran tunggal yang diraihnya beraksi di permukaan itu hadir pada 2018 ketika menewaskan Tsitsipas dalam Piala Rogers dan di Melbourne, dia sekali lagi menemui jalan untuk menyingkirkan pemain berusia 20 tahun itu.

Tsitsipas yang hadir ke pusingan separuh akhir buat pertama kali dengan menyingkirkan juara bertahan, Roger Federer, dalam pusingan 16, gagal mengulanginya ketika berdepan Nadal.

Nadal yang berada pada tahap terbaik, mendominasi lawannya dengan beberapa pukulan berbisa dan kini meletakkan harapan untuk menjulang gelaran Terbuka Australia buat kali kedua.