Terbuka Australia: Monfils sangkal tidak cergas disebabkan PlayStation 

Oleh Staff Writer 25 Januari 2020 138
Terbuka Australia: Monfils sangkal tidak cergas disebabkan PlayStation 
Gael Monfils menafikan laporan yang mengaitkannya terlalu banyak menghabiskan masa bermain PlayStation atas kecederaan tangannya selepas pemain tenis perseorangan lelaki ke-10 dunia dari Perancis itu terus mara dalam Terbuka Australia hari ini. 

Monfils tidak menunjukkan tanda-tanda menanggung kecederaan ketika melangkah ke pusingan keempat di Melbourne Park itu hasil kemenangan 7-6 (7-2), 6-4, 6-3 ke atas Ernests Gulbis. 

Monfils sempat ditanya mengenai keadaan tangan dan kecergasannya selepas laporan mengaitkan kecederaannya dengan permainan video. 

"Seperti yang saya telah katakan, ia merupakan salah faham. Saya mengatakannya secara berseloroh. Secara jujurnya tetapi ia adalah sesuatu yang memalukan kerana keadaan saya baik-baik saja," kata pemain berusia 33 tahun itu kepada wartawan. 

"Saya kini bersaing pada minggu kedua. Saya beraksi hebat, saya fikir ia berpunca daripada seseorang yang saya tidak pasti untuk cuba (mensensasikan berita). Saya bermain dalam Piala ATP dan telah berlatih di sini selama sebulan. Saya dalam keadaan yang sangat baik. 

"Saya tidak pernah mengatakan bahawa saya tercedera. Entah bagaimana, bermain PlayStation lalu saya ditimpa kecederaan seperti ini? Ayuhlah. Saya fikir ia kerana saya mempunyai nama yang besar untuk cerita seperti ini direka."

Sementara itu, Nick Kyrgios pula terpaksa bermandi peluh sebelum membenam Karen Khachanov 6-2, 7-6 (7-5), 6-7 (6-8), 6-7 (7-9), 7-6 (10-8) bagi menempah pertemuan dengan Rafael Nadal. 

Nadal selaku pilihan utama pula menyekat kemaraan rakan senegaranya, Pablo Carreno Busta, hasil kemenangan 6-1, 6-2, 6-4 manakala Daniil Medvedev mengatasi Alexei Popyrin 6-4, 6-3, 6-2 untuk berhitung dengan Stan Wawrinka.



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen