Pemain pilihan ketiga , Grigor Dimitrov, tidak berdepan masalah untuk mengesahkan slot ke pusingan keempat Grand Slam Terbuka Australia selepas mengetepikan cabaran pemain Russia, Andrey Rublev, di Melbourne Park, hari ini.

Kelebihan berpihak kepada Dimitrov dengan reputasi selaku pemain pilihan sementara Rublev di ranking ke-32 dunia, namun satu-satunya rekod pertemuan musim lalu dalam Terbuka Amerika Syarikat memihak kepada Rublev.

Bagaimanapun, ia tidak menggugat Dimitrov yang mempamerkan penguasaan dalam set pertama dengan keputusan 6-3 sebelum Rublev bangkit menyamakan kedudukan dalam set kedua menerusi kemenangan 6-4.

Enggan menjadi pemain di ranking tertinggi yang terkandas awal, Dimitrov bangkit untuk menawan dua set berikutnya 6-4 dan 6-4.

Sementara itu, langkah sensasi pemain berusia 15 tahun, Marta Kostyuk, terhenti selepas tunduk kepada Elina Svitolina 6-2, 6-2.

Pemain Ukraine itu sempat berseloroh terhadap kekalahannya dengan berkata: "Berapa banyak anda perlu membayar Svitolina untuk mendapatkan tunjuk ajarnya selama sejam? Saya memperolehinya secara percuma. Saya sedar saya mampu bermain jauh lebih baik lagi."