Karolina Pliskova meranapkan impian Serena Williams untuk menyamai rekod 24 kejuaraan Grand Slam dalam Terbuka Australia dengan kebangkitan menakjubkan, sebentar tadi.

Pliskova bangkit daripada ketinggalan 1-5 dalam set penentuan dengan menyelamatkan empat mata akhir untuk merakam kejayaan memukau 6-4, 4-6, 7-5 dalam aksi suku akhir di Arena Rod Laver.

Serena menguasai pertarungan sehinggalah detik pergelangan kakinya terkehel dalam game ketujuh set penentuan, sekali gus peluang itu dimanfaatkan Pliskova.

Pemain Republik Czech itu, yang juga pilihan ketujuh kejohanan, mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali ketiga untuk berdepan bintang Jepun, Naomi Osaka.

Serena -- mengintai gelaran kelapan di Melbourne selain mahkota Grand Slam buat kali ke-24 – bagi menyamai rekod pencapaian Margaret Court – menjadi mangsa kebangkitan luar biasa Pliskova.

Kedua-dua pemain saling mempamerkan servis bertenaga sebelum Pliskova mula mendapat rentak untuk mematahkan servis lawannya dalam game ketiga.

Ia bermula dengan pukulan kilasnya ke garisan belakang yang menyebabkan pukulan balas kilas Serena tersangkut di jaring.

Serena, bagaimanapun, enggan mensia-siakan servis pertamanya yang kencang -- lebih baik berbanding penampilan dalam awal kempen.

Serena kemudian mengikat kedudukan dalam game kelima, namun terpaksa berhempas-pulas sebelum berjuang empat kali bagi menyelamatkan servisnya.

Pliskova, yang lututnya kirinya berbalut, dalam prestasi hebat untuk memenangi set pertama apabila menutup kemenangan itu dengan servis ace.

Pliskova lebih awal untuk mendahului dalam set kedua apabila memerangkap Serena yang melakukan pukulan balas ke jaring dalam game kelima.

Serena bangkit pada detik terbaik dalam game ke-10 untuk merampas set kedua 6-4.

Dengan momentum dipamerkan, Serena mula menguasai permainan dengan mendahului set ketiga 3-1 dengan pukulan bertenaga.

Begitupun, kecederaan pergelangan kaki kiri yang melandanya ketika melakukan servis pada saat mendahului 5-1 -- menuju mata akhir perlawanan -- membuka ruang buat Pliskova untuk mempamerkan kebangkitan.