Kali ini, tanpa juraian air mata, tanpa pelukan semangat, tanpa ucapan beremosi dan semuanya kelihatan seperti biasa. Dan itulah perkara paling luar biasa.

Pemain berusia 15 tahun, Coco Gauff, mengatasi juara bertahan, Naomi Osaka, untuk mara ke pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne dengan gaya yang amat mudah sebentar tadi.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu ialah dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu di mana Osaka meraih kemenangan mudah 6-3, 6-0 dan pemain remaja itu gagal membendung kekecewaannya sehingga menerima kata-kata semangat daripada jaguh Jepun berkenaan.

Kali ini, tiada sebarang petanda untuk perkara itu berulang apabila Gauff, tanpa belas kasihan, melunaskan dendamnya dengan kemenangan 6-3, 6-4 dalam masa 67 minit di Arena Rod Laver -- untuk mencongak perhitungan sama ada dengan Zhang Shuai atau Sofia Kenin.

Osaka bermula baik dengan pukulan kencang ke tanah menyaksikan dia seakan-akan sukar untuk diatasi tetapi lawan muda dari AS berkenaan mula meningkatkan permainannya manakala Osaka pula melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

Tiga pukulan kilas Osaka yang tidak menjadi memberikan Gauff mata akhir dengan mendahului 5-3.

Dibantu dengan dua lagi kesilapan pukulan kilas Osaka, Gauff memenangi set itu ketika servis di tangannya.

Kelemahan mental Osaka jelas kelihatan pada awal set kedua dengan pukulan terusnya yang terkeluar menyaksikan pemain Jepun itu kembali hilang arah.

Tetapi pemain pilihan ketiga itu akhirnya bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum mendahului 2-1.

Ia pastinya waktu-waktu untuk kehilangan keyakinan diri tetapi Gauff tidak pernah mengaku kalah.

Ketekalannya di garisan belakang amat berbeza dengan Osaka, yang melakukan 30 'unforced error' dalam perlawanan itu.

Kebanyakannya berlaku ketika dia melakukan pukulan kilas dan kembali ketinggalan apabila Gauff mematahkan servisnya untuk memintas 4-3.

Osaka sekurang-kurangnya dapat memastikan servisnya dibalas keluar oleh Gauff tetapi kemudian membantu lawan di rangking ke-67 dunia itu memperoleh kemenangan dengan siri kesilapan yang dilakukannya.




Editor: Muzaffar Musa