Novak Djokovic memastikan rekod kejuaraan ketujuhnya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia selepas melakar kemenangan bergaya 6-3, 6-2, 6-3 ke atas Rafael Nadal dalam final di Melbourne, hari ini.

Pilihan utama kejohanan itu mendominasi keseluruhan perlawanan untuk kini melengkapkan pencapaian gemilang kariernya menerusi kejuaraan grand slam ke-15 -- untuk mengatasi rekod Pete Sampras sebagai pemain ketiga terbanyak meraih kejuaraan grand slam -- yang juga kejuaraan grand slamnya yang ketiga secara berturut-turut sejak memenangi Kejohanan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Dua pemain terbaik sepanjang zaman itu menggamit aksi klasik seperti yang berlangsung dalam kejohanan sama pada 2012 -- di mana Djokovic menamatkan perlawanan selama lima jam 53 minit menerusi kemenangan dalam set terakhir -- namun Nadal gagal memberikan tentangan yang sama kali ini.

Nadal, yang tidak melepaskan sebarang set menjelang aksi final, bergelut untuk memberikan impak dalam aksi yang berat sebelah itu.

Pemain dengan kekuatan tangan kiri itu gagal mengatasi aksi genius daripada bintang Serbia berkenaan.

Djokovic turut menempa sejarah baru sebagai pemain yang merekodkan kemenangan paling banyak dalam kejohanan itu bagi mengatasi Roger Federer dan Roy Emerson.

Petanda awal dapat dilihat dalam set pertama apabila Nadal kerap kali melakukan servis yang terkeluar. Di sisi bertentangan gelanggang, Djokovic dilihat memaparkan servis berkepantasan tinggi dan hanya terlepas satu mata ketika servis di tangannya.

Kebolehannya memanfaatkan situasi itu memberikan ketenangan buat Djokovic untuk mengatasi lawannya dalam set berkenaan.

Selepas bertemu dengan pasukan sokongannya bagi mengenal pasti masalah dalam set pertama, Nadal memaparkan permulaan kukuh dalam set kedua.

Bagaimanapun, jurang pemisah mula kelihatan selepas game kelima apabila voli jauh yang dilakukan Nadal selepas rally panjang berkesudahan sangkut ke jaring menerusi pukulan balas daripada Djokovic.

Hanya itu persembahan terbaik yang mampu dihasilkan Nadal ketika bersaing dengan lawan yang lebih menguasai perlawanan itu.

Selepas dua kali dibawa ke penentuan 'deuce' dalam game berikutnya, Djokovic kembali di depan 5-2 sebelum memaparkan penguasaan total dalam baki saingan set tersebut menerusi tiga ace yang memikat.

Nadal, yang gagal dalam empat permainan rally dua set pertama, semakin tertekan selepas kecundang dalam game pembukaan set ketiga.

Pemain pilihan kedua itu berpeluang untuk melakar kebangkitan dalam game keenam, namun pukulan kilas menyilang yang dilakukannya tersasar jauh.

Kegagalan itu kemudian memberikan mata tambahan buat Djokovic yang semakin menghampiri mahkota kejuaraan.

Selepas beraksi selama dua jam empat minit, pemain berusia 31 tahun itu mengesahkan kejuaraan dengan pelbagai rekod yang diperbaharui.

Nadal kemudian datang ke tengah gelanggang bagi mengucapkan tahniah kepada Djokovic yang memaparkan aksi sempurna di Arena Rod Laver itu.