Novak Djokovic akan berdepan Rafael Nadal dalam final Terbuka Australia, Ahad ini, selepas menewaskan Lucas Pouille di Melbourne Park, sebentar tadi.

Pemain nombor satu dunia itu tidak menampilkan aksi goyah di Arena Rod Laver Arena ketika membenam Pouille 6-0, 6-2, 6-2.

Djokovic meletakkan sasaran menjadi pemain pertama untuk memenangi gelaran Terbuka Australia buat kali ketujuh apabila menamatkan perlawanan separuh akhir itu dalam tempoh satu jam 23 minit.

Pilihan utama itu hanya melakukan lima 'unforced error' dalam perlawanan itu sebagai persiapan menghadapi Nadal dalam final.

Pemain kelahiran Perancis, Pouille, telah diberi pengajaran oleh Djokovic yang mengejar gelaran grand slam yang ke-15 dalam kariernya.

Perasaan gugup pilihan ke-28 itu terpancar sejak permulaan permainan dengan kesilapan berganda servis memberikan Djokovic pendahuluan 2-0.

Djokovic -- yang menghabiskan masa hanya 52 minit dalam aksi suku akhir sebelum Kei Nishikori menarik diri ekoran kecederaan -- memberikan tekanan sepanjang permainan dan tidak memberikan sebarang ruang buat Pouille melakar kebangkitan.