Ash Barty menamatkan penantian selama 36 tahun negaranya apabila melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia dengan menewaskan Petra Kvitova sebentar tadi.

Bagaikan perlawanan ulangan suku akhir edisi lalu, yang mudah dimenangi Kvitova, Barty mengungguli pertemuan di Arena Rod Laver itu dengan kemenangan 7-6, 6-2.

Pemain nombor satu dunia itu menjadi pemain pertama Australia menyertai kelompok empat terbaik kejohanan itu sejak Wendy Turnbull melakukannya pada 1984.

Barty, yang merupakan juara Terbuka Perancis tahun lalu, akan bertemu pemain pilihan ke-14, Sofia Kenin, dalam separuh akhir.

Kedua-dua pemain bertukar-tukar mata pendahuluan sebelum Barty memenangi saingan sengit dalam game ketujuh.

Naib juara musim lalu, Kvitova, menyasarkan servis kedua Barty dan berjaya memperoleh mata-mata mudah daripadanya. Namun, selepas empat game diheret ke mata dius, kedua-dua pemain itu memanfaatkan servis sehingga ke penentuan 'tie break'.

Aksi selama 69 minit dalam set pertama itu memihak Barty dengan memenangi tiga mata terakhir dalam 'tie break' -- yang turut dibantu kesilapan Kvitova.

Barty mememangi tiga game pertama set kedua dengan kemahiran lambungan yang memberikannya pendahuluan 3-0.

Kvitova, yang semakin terdesak, menambah satu mata dalam game keenam tetapi gagal meneruskannya apabila melakukan kesilapan sevis berganda.

Barty kemudian memastikan kemenangannya dalam game berikutnya dengan melakukan servis ace yang gagal dibalas Kvitova.




Editor: Muzaffar Musa