Serena Williams mengucapkan terima kasih kepada pasukan sokongannya atas dorongan mereka tatkala kariernya semakin mengalami kejatuhan susulan kekalahan dalam perlawanan akhir wanita Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Pemain tenis berusia 37 tahun itu memburu gelaran grand slam ke-24 ketika berdepan Bianca Andreescu di Flushing Meadows, namun dia sekali lagi dikecewakan seperti ketika berdepan Naomi Osaka dalam final tahun lalu, termasuk aksi final Terbuka Wimbledon musim ini.

Williams tampil agak gugup dalam pertarungan di Stadium Arthur Ashe itu apabila hanya menjelmakan ancaman kepada lawannya yang berusia 19 tahun itu dalam set kedua sebelum tumbang 3-6, 5-7.

Perlawanan itu turut mengimbau kenangan yang menyaksikannya meraih gelaran grand slam pertamanya menerusi Terbuka AS, 20 tahun lalu, dan apabila ditanya soal karier panjangnya yang luar biasa selepas kekalahan yang menyakitkan itu, dia berharap masih ada masa dalam kariernya untuk kembali memenangi grand slam.

"Saya berasa sangat bangga untuk dapat berdiri di sini. Saya sangat bangga, saya masih dapat berdiri di sini untuk bersaing di peringkat ini," katanya selepas perlawanan itu.

"Bukan mudah (dapat bertahan) dalam sukan ini selama 20 tahun.

"Saya perlu berterima kasih kepada tuhan kerana membenarkan saya peluang untuk berada di sini.

"Pasukan saya sentiasa memberi sokongan padu ketika saya menempuhi (karier yang) meningkat dan menjunam, menjunam, menjunam, menjunam, menjunam serta menjunam. Mudah-mudahan kami akan dapat lonjakan (karier) dengan segera."

Williams sebelum ini mendedahkan dia merupakan peminat kepada Andreescu sambil mengakui kecuali kakaknya, Venus, tiada siapa lagi yang dia rela untuk ditewaskan.

"Bianca menjelmakan permainan yang luar biasa. Tahniah," katanya. "Saya tumpang bangga dan gembira untuk anda.

"Ia adalah satu pertarungan tenis yang luar biasa, saya harap saya boleh bermain dengan lebih baik lagi tetapi jika ada yang boleh memenangi kejohanan ini -- selain daripada Venus -- saya gembira orangnya adalah Bianca."

Prestasi atlet berusia 37 itu hanya mula menyerlah -- ketika wakil Kanada itu di ambang mata akhir yang membabitkan tempoh permainan selama 23 minit -- sehingga menyaksikan peminat mula memberi sorakan kepada pemain AS berkenaan.

Dia menambah: "Pada ketika itu, saya hanya berjuang, cuba untuk bertahan dengan lebih lama.

"Secara jujurnya, ketika peminat mula memberi sorakan padu, ia membolehkan saya untuk bermain dengan lebih baik dan mencari rentak lebih baik lagi. Saya sangat berterima kasih untuk itu."