Naomi Osaka optimis akan bebas daripada sebarang kecederaan ketika memulakan kempen mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Osaka menarik diri daripada Terbuka Barat & Selatan minggu lalu selepas mengalami kecederaan lutut kiri di Cincinnati.

Pemain nombor satu dunia itu telah memberikan perkembangan positif mengenai kondisinya ketika membuat persiapan berdepan Anna Blinkova dalam pusingan pertama di Flushing Meadows.

"Kecederaan saya semakin pulih. Saya telah mula bermain dalam jangka masa yang lebih panjang setiap hari.

"Saya sangat bertuah kerana cepat pulih, jadi saya yakin dapat beraksi cemerlang dalam Terbuka AS," ujarnya.

Pilihan utama kejohanan itu percaya pengalamannya mampu membantunya untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu di New York.

"Beberapa kejohanan yang disertai sebelum ini telah membantu saya bagaimana untuk menangani tekanan di atas gelanggang. Saya berasakan ia akan membantu saya," kata Osaka lagi.

"Kerana saya dapat berasakan lebih selesa. Saya bermain dengan baik di sini, tiada apa yang perlu dibimbangkan."