Juara bertahan, Rafael Nadal, mengakui bahawa dia harus memperbaiki prestasinya sekiranya ingin mengetepikan Dominic Thiem di peringkat suku akhir Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Nadal dipaksa bermandi peluh oleh Karen Khachanov dan Nikoloz Basilashvili di Flushing Meadows, namun pilihan utama itu menghadapi prospek yang sangat berbeza menjelang pertemuan dengan finalis Terbuka Perancis itu dalam suku akhir.

Nadal, yang meraikan kemenangan ke suku akhir dalam kesemua kempen grand slam sepanjang 2018 dengan menewaskan Basilashvili 6-3, 6-3, 6-7 (6-8), 6-4, sedar mengenai tugas berat di hadapannya.

"Saya sudah berada pada minggu kedua, ini suatu perkara yang positif," kata pemain Sepanyol itu dalam sidang akhbar. "Saya sudah mara ke peringkat suku akhir dalam semua kejohanan utama sejak kali terakhir melakukannya pada 2011, jadi ini adalah perkara yang positif.

"Kini tiba masanya untuk membuat langkah seterusnya, selangkah lagi ke hadapan dengan permainan lebih agresif. Saya telah melakukan banyak perkara yang bagus sepanjang musim ini. Kini masanya untuk melakukan sekali lagi.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. (Thiem) adalah pemain yang sangat mantap dan dia tahu bagaimana untuk menghadapi pertarungan seperti ini. Saya perlu beraksi di tahap terbaik sekiranya saya ingin terus berada dalam kejohanan."

Thiem, yang mengalahkan Kevin Anderson dalam pusingan keempat, memenangi salah satu daripada tiga pertemuan dengan juara grand slam 17 kali itu di atas permukaan tanah liat pada awal tahun ini.

Nadal menambah: "Ini satu perlawanan yang berbeza berbanding dengan tanah liat tetapi ia masih perlawanan tenis dan saya tahu corak permainannya.

"Dia juga tahu bagaimana saya bermain. Ia akan menjadi menarik dan sukar untuk kami berdua."