Pemain kelahiran Australia, John Millman, mempamerkan kejutan dalam saingan grand slam apabila menewaskan Roger Federer dalam Kejohanan Terbuka AS, hari ini.

Pemain pilihan kedua, Federer -- juara lima kali di Flushing Meadows -- dilihat sebagai pilihan untuk mengatasi pemain di ranking ke-55 dunia itu bagi menempah slot suku akhir berdepan Novak Djokovic.

Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan di Stadium Arthur Ashe -- menimbulkan persoalan sama ada dia berada di tahap terbaik untuk mencipta kejuaraan kali ini.

Federer tidak pernah tewas dalam Terbuka AS berdepan pemain di ranking ke-50 dan ke atas, bagaimanapun Millman berjaya mengatasi lawannya itu 3-6, 7-5, 7-6 (9-7), 7-6 (7-3).

“Keadaan terlalu panas. Ia salah satu hari di mana saya rasa tidak boleh bernafas. Tiada langsung peredaran udara,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya tidak tahu atas sebab-sebab tertentu, saya berhempas-pulas dalam keadaan ini. Ia antara kali pertama berlaku kepada saya.

“Ya, ia benar-benar merimaskan. Saya banyak berpeluh dan semakin lama perlawanan, saya turut kehabisan tenaga.

“Tapi John dapat menangani keadaan ini dengan lebih baik, mungkin kerana ia datang dari antara tempat terpanas di dunia – Brisbane.

“Pada satu peringkat, saya hanya berasa gembira perlawanan ini sudah tamat,” tambahnya.