Apabila pemain melangkah masuk ke Stadium Arthur Ashe, mereka akan disambut dengan plak yang dihiasi dengan empat perkataan terkenal yang diucapkan oleh Billie Jean King -- "Tekanan adalah satu keistimewaan".

Dalam kalangan pemain hebat yang pernah mengungguli sukan tenis, tiada pemain yang lebih berhak untuk menepati cogan kata itu selain daripada Serena Williams.

Bagaimanapun, juara grand slam sebanyak 24 kali itu akan tampil dalam final wanita Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi esok, berdepan seorang pemain remaja yang mungkin menjadi pewarisnya.

Bianca Andreescu hanya memahat lapan kemenangan dalam pertarungan utama dengan enam daripadanya hadir dalam acara tahun ini di Flushing Meadows itu. Malah, dia belum dilahirkan ketika Williams muncul dalam final grand slam pertamanya.

Perbezaan di antara kedua-dua finalis itu cukup ketara.

Namun, ketika membabitkan aksi berkeamatan tinggi di atas gelanggang, ada pendapat kuat yang mengatakan Andreescu sudah sebaris dengan pemain berusia 37 tahun itu.

Sekiranya dia terus menghasilkan aksi serupa ketika melakukan kebangkitan menentang Belinda Bencic dalam separuh akhir, reputasi pemain Kanada tersebut pasti melonjak.

Digambarkan sebagai "pahlawan dan pejuang jalanan" oleh jurulatihnya, Sylvain Bruneau, semalam, aksi pemain berusia 19 tahun itu cukup menghiburkan untuk ditonton.

Dia dikurniakan dengan aksi bertenaga selain membawa kepelbagaian dalam corak permainannya tetapi apa yang dilakukannya selepas dan di antara mata adalah sesuatu yang memukau.

Andreescu berjuang untuk setiap mata. Dalam setiap perlawanan, dia kelihatan bertarung dengan kekecewaan dalamannya sendiri dan ia adalah sesuatu yang mengejutkan sekiranya setiap mata yang dimenangi tidak disambut oleh "Ya! Ayuhlah!" atau jeritannya kepada pasukan sokongannya.

Dia lebih selesa ketika pada saat kebangkitannya dituntut.

Oleh itu, keperluan 'break point' dilihat satu kelebihan berbanding masalah, seperti yang diperlihatkannya ketika ketinggalan 2-5 dalam set kedua ketika menentang Bencic, setelah memenangi set pertama menerusi 'tie-break'.

"Saya fikir apabila saya ketinggalan, saya menampilkan aksi tenis terbaik. Saya fikir saya lebih fokus pada detik-detik itu," katanya sidang akhbar.

"Di kedudukan 2-5, saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya tidak mahu diheret ke set ketiga, jadi saya fikir ia mengubah minda saya.

"Rasa tidak gentar seperti merasuki saya. Saya fikir ia berkenaan keghairahan saya juga. Saya tidak gemar untuk tewas, jadi saya hanya cuba berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya meletakkan jangkaan tinggi kepada diri sendiri, jadi saya fikir tekanan juga membantu saya menampilkan yang terbaik."

Dia gagal layak dalam edisi tahun lalu tetapi kali ini berpeluang meraih $3.85 juta (RM16j).

Untuk melakukannya, Andreescu perlu mengatasi pemain terbaik dalam sejarah yang sudah pasti akan menerima sokongan padu di hadapan penyokong sendiri di stadium terbesar dunia tenis itu.