Persatuan Tenis Amerika Syarikat mengesahkan bekas finalis Terbuka AS, Kevin Anderson, tidak akan dapat beraksi di Flushing Meadows minggu depan kerana mengalami kecederaan lutut.

Pemain di ranking ke-17 dunia, Anderson, tewas kepada Rafael Nadal dalam aksi final di New York pada 2017 manakala tewas di peringkat yang sama kepada Novak Djokovic dalam saingan Wimbledon tahun lalu.

Wakil kelahiran Afrika Selatan itu berharap untuk menjulang grand slam pertama, namun terpaksa menarik diri dua hari sebelum Terbuka AS bermula.

Anderson hanya tampil beraksi dalam 15 perlawanan bagi Jelajah ATP musim ini dan tidak turun ke gelanggang sejak Wimbledon.

Dia telah diundi sebagai pemain pilihan ke-16 di Flushing Meadows tetapi Paolo Lorenzi akan mengambil alih tempatnya berdepan Zachary Svajda.