Kejohanan tenis peringkat umur Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) kembali ke Perak selepas lima tahun dengan penganjuran Kejohanan Tenis Remaja Dunia ITF Bawah 18 Tahun 2019 di Ipoh dari 21 hingga 28 April ini.

Timbalan Presiden Persatuan Tenis Perak (PLTA), Fazwil Abdul Wahid, berkata pemain-pemain bertaraf dunia dari lebih 25 negara akan menyertai kejohanan di Arena Tenis Perak itu.

"Kali terakhir kejohanan ini diadakan di Ipoh ialah pada 2014.

"Atas sebab-sebab tertentu, penganjurannya di Perak dihentikan sehinggalah ia kembali ke Ipoh tahun ini," kata Fazwil.

Katanya, Perak akan diwakili pemenang pingat emas Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 kategori terbuka B-18, Mitsuki Leong.

Mitsuki merupakan seorang pemain tenis yang berkaliber dan telah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, pemain wanita negeri Perak ialah Hannah Yip, yang juga pemenang Anugerah Li Na 2018.

Tiga lagi pemain negeri yang bakal beraksi ialah Daniel Leong Pricket, Pavel Liam Thadani dan Ishan Singh yang masing-masing mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa.

Program ini juga bakal memberi peluang kepada mereka untuk saling mengenali pemain luar negara.

Dalam perkembangan lain, PLTA berjaya menganjurkan kejohanan Mini Tenis Terbuka Jemputan Perak 2019, hujung minggu lalu.

Lebih 70 peserta menyertai kejohanan dua hari itu yang meliputi kanak-kanak berumur lapan hingga 10 tahun.

Sehubungan itu, dengan kejohanan tersebut, PLTA melancarkan program “Chor Tennis Kidz” untuk menarik minat kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Mereka bakal dilatih untuk menjadi bekalan pemain pelapis negeri dan negara.

Segala usaha itu mendapat bantuan dan sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Exco Sukan Negeri Perak.