Exequiel Jucutan muncul juara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Tenis Perak ATF Bawah 14 Tahun yang berakhir di Arena Tenis Perak, Ipoh, semalam.

Pemain dari Filipina itu yang juga pilihan kedua kejohanan menumpaskan pilihan ketiga, Nikhil Mukherjee, dari India, 6-1 6-0.

Jucutan mara ke final selepas mengetepikan cabaran pemain negara, Syed Uzair Sufi Syed Ibrahim, 6-1, 6-1 sambil Nikhil melakukan kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama kejohanan, Anh Pham La Hoang Anh, dari Vietnam dalam aksi separuh akhir.

Syed Uzair menebus kehampaan dengan kejayaan 7-5, 6-4 ke atas Anh Pham untuk menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan, ia dimenangi pemain dari Kazakhtan, Dilnaz Mashabayera, yang mengetepikan rakan senegara dan pilihan pertama, Karina Jumazhanova, 6-4 dan 6-2.

Dilnaz mara ke final selepas menyingkirkan Ingkar Dyussebay 6-3,6-2 manakala Karina menundukkan Hanh Hong Ngo dari Vietnam 6-1,6-2.

Ingkar yang juga dari Kazakhtan menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Hong Ngo 6-4,6-4.

Acara beregu lelaki dimenangi pasangan dari India, Rudra Raj, dan Aryan Jit Singh dari Great Britain.

Pasangan bukan pilihan itu menewaskan gandingan Cooper Dillon dari Australia dan Nikhil Mukherjee (India) 6-2,6-4.

Gandingan Ingkar-Dilnaz muncul juara kategori beregu perempuan selepas mengatasi Nina Angeline Alcala (Filipina)-Nao Phang Ziyi (Malaysia) 6-2,6-1.

Sebanyak 17 negara mengesahkan penyertaan dalam kejohanan yang julung kali diadakan di Ipoh itu.

Antara negara terbabit adalah Hong Kong, China, Filipina, Iran, Kazakhstan, England, India, Australia, Indonesia dan Jepun.