Pemain tenis negara, Syed Agil Syed Naguib dan Suhana Sofia Adam Das, mempertahankan prestasi ketua jurulatih, Suresh Menon, selepas pengendali itu dilantik semula untuk mengetuai program skuad negara ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) menawarkan kontrak baru kepada Suresh meskipun dia gagal mencapai misinya dalam Piala Davis, Jun lalu.

Skuad negara gagal ke Kumpulan 2 saingan itu, namun LTAM tetap berasakan bekas pemain kebangsaan itu masih calon terbaik untuk mengendalikan skuad kebangsaan dalam temasya berkenaan.

"Saya puas hati dapat kembali menjadi pelajar kepada jurulatih Suresh.

"Saya gembira dia akan menjadi jurulatih dalam Sukan SEA kerana kedudukannya sesuai untuk menjadi ketua jurulatih," kata Syed Agil.

"Saya berasa selesa dengan Suresh. Beberapa hari lalu amat baik.

"Banyak perubahan buat pemain seperti kami.

"Saya harap dia kekal bersama kami hingga Sukan SEA kerana kami akan meningkat lebih baik berbanding edisi lalu," tambah Suhana Sofia pula.

Sebagai rekod, skuad tenis negara meraih pingat gangsa acara beregu wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pencapaian terbaik dalam temasya dwitahunan itu pula adalah ketika memungut pingat emas dalam acara beregu wanita di Singapura pada 1973.