Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bulan lalu mengumumkan pembubaran program skuad senior lelaki dan wanita selepas peruntukan untuk tenis dikurangkan dan gagal mendapat tempat dalam program utama negara.

Menjelaskan situasi di sebalik pengguguran program itu, ketua jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal, berkata barisan pemain negara gagal berada di ranking yang baik di rantau Asia Tenggara.

"Saya mengambil alih tugas ketua jurulatih sejak 2016. Pemain-pemain sudah dilatih sebelum ini dan mereka bersama saya sejak mereka berumur 13 tahun semasa di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Bercakap mengenai pembubaran ini, kami sudah memberi peluang kepada pemain-pemain senior, rasanya sudah lebih 10 tahun. Mereka banyak mendapat bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan LTAM.

"Kami mengawasi pencapaian mereka dan melihat pencapaian mereka dalam Sukan SEA 2017. Kami hanya meraih pingat gangsa menerusi beregu wanita (Jawairiah Noordin-S Theiviya).

"Sasaran utamanya, adalah masuk ke final. Kami tahu kami jauh ketinggalan berbanding dengan pemain di rantau Asia Tenggara," katanya dalam temubual Nadi@1 hari ini.

Bagaimanapun, Muliyadi berkata keputusan itu bukanlah penghalang kepada pemain untuk terus beraksi dalam mana-mana kejohanan.

"Ini bukan bermakna pemain-pemain senior berhenti bermain. Mereka masih lagi boleh menyertai kejohanan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Jelas jurulatih itu, buat masa ini pihaknya tidak lagi mengawal aktiviti pemain kerana semua perbelanjaan sudah ditarik.

"Sebelum ini, segala perbelanjaan seperti elaun, tempat tinggal, latihan dan pertandingan disediakan MSN dan LTAM. Jadi, sekarang ini kami tidak boleh kawalnya kerana ia dikeluarkan daripada program. Tetapi, pemain masih boleh bermain," ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran LTAM jika mahu mempersiapkan pasukan dalam menghadapi kejohanan selepas ini, Muliyadi tidak menolak kemungkinan pihaknya memanggil semula pemain senior andai mereka menununjukkan pencapaian yang memuaskan.

"Kami akan panggil kalau mereka membuktikan pencapaian yang baik. Dalam sirkit kebangsaan juga, di situ kami akan pilih berdasarkan ranking. Ia berdasarkan kejohanan. Kami akan panggil mereka untuk latihan pusat.

"Kalau berminat, mereka mesti memberikan komitmen 100 peratus dan menunjukkan disiplin yang baik, InsyaAllah kami akan serapkan semula dalam pasukan kebangsaan," katanya lagi.