Sloane Stephens berjenaka bahawa dia mahu mengambil keputusan untuk "bersara" selepas mempamerkan aksi cemerlang menjulang gelaran Terbuka AS selepas berjaya membenam rakan senegara, Madison Keys.

Stephens berada di kedudukan ke-957 dunia pada Julai lalu selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki tetapi dia berjaya mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Venus Williams (1-6, 6-0, 7-5) dalam separuh akhir serta mudah mengetepikan Keys dalam aksi yang penuh bertenaga untuk meraih kemenangan straight set 6-3, 6-0.

Bercakap ketika sesi penyampaian trofi, Stephens berkata, "Saya patut bersara sekarang, saya memberitahu kepada Keys bahawa saya tidak akan mampu mengulangi pencapaian ini.

"Selepas pulih daripada kecederaan, saya telah berusaha keras untuk mendapatkan sentuhan. Saya cuba memberikan yang terbaik dan saya memiliki pasukan yang sangat berkualiti.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa bersama saya ketika saat sukar. Kejayaan ini untuk semua."