Bintang tenis remaja negara, Christian Didier Chin, nyata terdesak untuk memenangi gelaran senior kebangsaan pertamanya selepas kekecewaan terdahulu.

Kempen Christian dalam dua pusingan terakhir Sirkit Kebangsaan berakhir dengan duka. Mara ke separuh akhir tetapi terpaksa menarik diri akibat kecergasan tidak memuaskan dan kecederaan.

Namun, untuk pusingan ketiga ini, Christian memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menewaskan Sallahudin Safie 6-1, 6-0 di Pusat Tenis Jalan Duta, hari ini.

"Saya akan cuba memenangi kejohanan ini kerana orang ramai pastinya akan mempersoalkan sejauh mana kemampuan saya selepas ini.

"Jika sebelum ini, peluang hanya 50-50, kini perhatian lebih terarah kepada saya," ujarnya.

Christian pada masa sama berpandangan ujian untuk bergelar juara adalah mengatasi rasa hormat kepada pemain senior.

"Saya telah menyertai banyak kejohanan di luar dan menyangka akan mudah memenangi setiap pertandingan tetapi ia sukar.

"Masih ramai pemain yang berpengalaman dan mampu beraksi dengan baik," katanya lagi.

Pemain yang dimaksudkan itu, antaranya Christian Oliver Lee dan Syed Mohd Agil Syed Naguib, yang diletakkan sebagai pilihan utama perseorangan lelaki.