Maria Sharapova menarik diri daripada Grand Slam Terbuka Perancis kerana masih bergelut dengan kecederaan bahu.

Pemain dari Russia itu mengumumkan hari ini bahawa dia tidak akan mengambil bahagian dalam edisi kali ini yang akan bermula 26 Mei ini.

Sharapova, 32, tidak beraksi dalam aksi kompetitif sejak menarik diri ketika berdepan rakan senegara, Daria Kasatkina, dalam pusingan 16 Terbuka St Petersburg, Januari lalu, sebelum menjalani pembedahan, bulan berikutnya.

"Hari ini, saya terpaksa mengundurkan diri daripada Terbuka Perancis," katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

"Kadang-kadang keputusan yang tepat bukannya satu perkara paling mudah untuk dibuat. Berita baiknya saya telah kembali menjalani latihan di gelanggang dan secara perlahan-lahan membina semula kekuatan bahu saya.

"Saya amat merinduimu Paris, jumpa lagi tahun depan."

Sharapova merupakan juara Terbuka Perancis sebanyak dua kali, sekali gus menjadikannya sebagai kejohanan Grand Slam paling berjaya buatnya.

Juara 2012 dan 2014 itu mara ke suku akhir tahun lalu.