Bekas pemain nombor satu dunia, Serena Williams, berkata keinginannya untuk menang masih kuat selepas juara grand slam 23 kali itu kekal berada dalam saingan Terbuka Perancis.

Serena bangkit untuk mengatasi Ashleigh Barty 3-6, 6-3, 6-4 ketika pemain veteran Amerika Syarikat itu mara ke pusingan ketiga di Roland Garros, hari ini.

Pemain berusia 36 tahun itu -- tidak menjadi pemain pilihan dalam grand slam pertamanya sejak melahirkan anak sulung pada September lalu -- beraksi hambar dalam set pembukaan tetapi dia terus berusaha keras bagi mengetepikan cabaran wakil Australia itu.

Kini, sebagai seorang ibu kepada anak perempuan, Alexis Olympia Ohanian Jr, tenis bukan lagi keutamaan Serena tetapi juara tiga kali Terbuka Perancis itu masih terdorong untuk berjaya.

"Sudah pasti saya mesti menang. Ia adalah sesuatu yang semula jadi, syukur," katanya selepas hampir dua jam beraksi di atas tanah liat.

"Ini adalah grand slam. Ini adalah yang pertama sejak kembali beraksi, saya mahu melakukan yang terbaik. Pada suatu hari nanti, saya akan beritahu anak perempuan saya bahawa saya sudah berusaha sebaik mungkin," ujarnya.