Serena Williams menegaskan segalanya baru sahaja bermula selepas gagal merangkul gelaran Wimbledon kelapan selepas tewas kepada Angelique Kerber.

Williams terlantar selama enam minggu selepas melahirkan anak pertamanya 10 bulan lalu tetapi mengatasi setiap kemungkinan untuk mara ke final Wimbledon.

Bagaimanapun, Kerber mempamerkan aksi berkualiti untuk mengatasi Williams 6-3, 6-3.

Meleburkan harapan wakil dari Amerika Syarikat itu meraih gelaran grand slam yang ke-24, pemain veteran itu yakin mara ke final ini merupakan permulaan kebangkitannya.

"Ia merupakan kejohanan yang menakjubkan buat saya. Saya sangat gembira mara sejauh ini," kata Williams.

"Agak mengecewakan tetapi saya tidak boleh berterusan begini, saya perlu melihat ke hadapan dan segalanya baru sahaja bermula bagi saya," ujarnya.

Williams mendedikasikan persembahan berdepan Kerber, yang kini pemenang grand slam tiga kali, kepada seluruh ibu di dunia.

"Kepada semua ibu di dunia, saya bermain untuk anda semua dan telah mencuba tetapi Kerber berada di tahap terbaik.

"Saya tidak sabar untuk kejohanan akan datang dan mahu menampilkan persembahan terbaik."