PSM ambil kira kepentingan NTC

Oleh Staff Writer 23 April 2018 527
PSM ambil kira kepentingan NTC
Penswastaan Pusat Tenis Negara (NTC) yang sebelum ini seakan-akan berjalan dengan baik, kembali menjadi tumpuan apabila Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) mendakwa bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak membabitkan persatuan itu dalam mengenal pasti syarikat yang diberikan kepercayaan mengendalikan pusat itu. 

Menurut Setiausaha Kehormat LTAM, Rahizam Rahim, sebelum ini sudah pun berlangsung beberapa perbincangan di antara kedua-dua pihak mengenai penswastaan NTC. 

"Kami berasa terkejut kerana tidak dimaklumkan (mengenai penawaran kontrak itu). Kami juga tidak mendapat maklumat terperinci mengenai tawaran-tawaran yang dikemukakan syarikat-syarikat tersebut. 

"Kebimbangan kami adalah mengenai gelanggang dan penginapan buat pemain-pemain yang menyertai pertandingan sebagai kemudahan di samping harga munasabah. 

"Ini termasuklah menyediakan kantin dengan harga berpatutan," luah Rahizam. 

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman, tampil menjelaskan situasi sebenar. 

Azman memberi jaminan syarikat yang diberikan kepercayaan mengendalikan NTC tidak akan mengetepikan LTAM di dalam pentadbiran pusat itu. 

"Perkara-perkara ini memang kami tekankan semasa mengeluarkan tender tersebut. Kami mencapai kata sepakat bahawa syarikat yang diberi tanggungjawab perlu memberikan keutamaan kepada orang awam, LTAM dan Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM). 

"PSM dan LTAM akan duduk dalam jawatankuasa khas syarikat tersebut yang telah dipersetujui agar kepentingan kami dapat dipertahankan," kata Azman. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen