Piala Konfederasi: Jawairiah sedia manfaat pengalaman

Oleh Staff Writer 18 Jun 2019 336
Piala Konfederasi: Jawairiah sedia manfaat pengalaman
Pemain tenis veteran negara, Jawairiah Nordin, akan menjadi sandaran utama skuad negara dalam Kejohanan Kumpulan 2, Piala Konfederasi Asia-Oceania di ibu negara bermula esok ketika Malaysia akan turut berdepan cabaran hebat daripada Uzbekistan dan Turkmenistan.

Meskipun tiada keinginan untuk kembali menyertai skuad kebangsaan, bekas pemain nombor satu negara itu tetap menjadi tonggak utama dalam saingan kali ini.

Jawairiah, yang baru pulih daripada kecederaan lutut kanan, memberi jaminan akan menggunakan segala pengalamannya untuk membimbing rakan sepasukan walaupun mereka tidak memiliki sebarang ranking individu.

"Keinginan untuk bermain itu masih ada tetapi disebabkan program kami sudah tiada, jadi kami perlu meneruskan hidup.

"Sebab itulah saya mula menjadi jurulatih.

"Alhamdulillah, saya masih ada rezeki, cuma saya dah mula berminat menjadi jurulatih dan tidak menjalani latihan," katanya.

Meskipun Uzbekistan dan Turkmenistan dijangka akan menjadi lawan lebih ampuh, pengendali negara, S. Selvarajoo, tetap percaya barisan mudanya mampu memberikan saingan.

"Kami belum pernah bertemu Uzbek, begitu juga Turkmenistan.

"Kami pernah bertemu Pakistan dan Hong Kong sebelum ini.

"Pada 2009, kami menamatkan saingan selaku empat pasukan teratas, jadi saya harap kami dapat mengulanginya," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen