Jurulatih skuad tenis wanita negara, S. Selvarajoo, ingin melakukan kejutan dalam Kejohanan Kumpulan 2, Piala Konfederasi Asia-Oceania di ibu negara 19-23 Jun ini walaupun akan berdepan Uzbekistan dan Hong Kong.

Bagi memperkukuhkan skuad negara, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) mendapatkan semula khidmat bekas pemain nombor satu negara, Jawairiah Noordin.

Walaupun sudah hampir setahun meninggalkan pentas kompetitif, Selvarajoo yakin pemain itu masih pemain wanita terbaik yang dimiliki negara.

"Jawairiah masih pemain terbaik.

"Dia memiliki pengalaman yang cukup luas.

"Sudah pasti sebagai pemain senior, dia akan membantu pemain muda yang lain.

"Bagi saya, dia tetap yang terbaik yang saya ada," katanya.

Bagi Jawairiah pula, dia optimis pemain muda dalam pasukannya mampu mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan itu.

"Saya meninggalkan sukan tenis tidak lama sangat, cuma hampir setahun selepas Terbuka Kuala Lumpur.

"Saya juga ada beraksi awal tahun ini, jadi ia tidak terlalu lama.

"Saya lihat pemain muda mempunyai kualiti pemain profesional, cuma kita tidak tahu kekuatan mental mereka.

"Ia pasti pengalaman yang baik buat mereka," katanya.