Hasrat Malaysia untuk menempah slot ke pentas final Kejohanan Piala Fed Kumpulan 2, Piala Konfederasi Asia-Oceania disekat oleh Uzbekistan apabila tewas 0-3 di Pusat Tenis Nasional Tun Abdul Razak, hari ini.

Nigina Abduraimova terlebih dahulu meletakkan Uzbekistan di depan selepas menewaskan Sara Nayar straight set 6-3, 6-4 sebelum Sabina Sharipova meneruskan rentak kemenangan 6-2, 6-0 ke atas Suhana Sofia Mohd Adam Das.

Dalam acara beregu, Abduraimova dan Akgul Amanmuradova kemudian melengkapkan kemenangan bergaya buat pelawat selepas mengatasi Jawairiah Noordin dan Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman 6-4, 6-1.

"Saya perlu melakukan servis dengan lebih kencang lagi tetapi selain itu, servis pertama saya banyak membantu," kata Sara.

Sementara itu, pemain dari Sarawak, Sharifah Elsa, menganggap Piala Fed pentas terbaik untuknya meraih pengalaman.

"Ini satu pengalaman yang baik buat saya di peringkat senior. Saya berazam untuk beraksi dengan lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih negara, S. Selvarajoo, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi berhasrat melakukan perubahan dalam memastikan Malaysia meraih kemenangan ke atas New Zealand dalam saingan tempat ketiga dan keempat, esok.

"Barisan pemain saya beraksi dengan jauh lebih baik daripada semalam, terutama Sara, malah Suhana juga bermain baik dalam dua set pertama.

"Malah, dua pemain muda skuad ini juga tampil dengan persembahan yang baik," kata Selvarajoo.