Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, percaya skuad kendaliannya mampu meraih kelompok tiga teratas dalam saingan kelayakan Kumpulan 3, Piala Davis Zon Asia/Oceania.

Penstrukturan semula kejohanan daripada Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) menyulitkan misi Malaysia apabila Kuwait dan Vietnam yang layak ke Kumpulan 2 musim lalu kekal dalam Kumpulan 3.

Namun, pengendali itu percaya semangat skuad negara sedang membara bagi menghadapi saingan Piala Davis selepas dua pemain muda berjaya meraih ranking dunia pertama mereka baru-baru ini.

"Sudah pasti ia satu keyakinan yang baik apabila anda memiliki dua pemain yang mengutip mata. Ia menunjukkan momentum positif.

"Masa depan mereka baik. Saya rasa mereka lebih bagus berbanding tahap dalam Piala Davis. Jelas sekali kami perlu mempersiapkan mereka untuk menghadapi Piala Davis," katanya.

Suresh juga menambah jika skuad negara tidak diundi bersama Vietnam dalam pusingan awal, maka Malaysia berpeluang cerah untuk berada dalam kelompok tiga teratas dan mara ke Kumpulan 2 musim depan.

"Kami mahu mara jauh walaupun sukar. Kami harus beraksi di tahap terbaik. Saya rasa berbanding negara lain, kami lebih baik dan Malaysia berpeluang untuk menundukkan mereka," tambahnya.

Malaysia perlu berentap dengan tujuh pasukan secara keseluruhan, termasuk Iran, Qatar, Sri Lanka dan Syria di Arena OCBC, Singapura dari 26 hingga 29 Jun ini.