Pemain tenis meningkat naik negara, Shamirul Shahril Adam Das, menjawab persoalan mengapa dia berhak berada dalam skuad Piala Davis negara walaupun memegang status sebagai pemain paling muda.

Shamirul, 19, merupakan anggota skuad Piala Davis termuda di samping Ahmed Deedat Abdul Razak dan Syed Agil Syed Naguib.

Minggu lalu, Shamirul membuktikan wibawanya dengan mengungguli siri kedua Kejohanan Sirkit Kebangsaan dalam acara beregu lelaki selepas bergandingan dengan Ahmed Deedat.

Pencapaian itu membuatkannya berasa teruja, namun tetap tidak leka untuk mengekalkan fokus dan mengutamakan aspek disiplin seperti yang dituntut ketua jurulatih negara, Suresh Menon.

"Ia merupakan kali pertama saya bergandingan dengannya dan ia amat menakjubkan untuk bergandingan dengan Deedat.

"Sudah pasti saya akan lebih berasa tertekan memandangkan saya pemain paling muda, namun mereka merupakan pemain senior dan saya berharap mereka akan banyak membantu saya.

"Ia juga kali pertama saya menyertai skuad Piala Davis, jadi saya berharap dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

"Sudah agak lama kami tidak layak ke Kumpulan Dua, jadi saya berharap untuk kami dapat melakukan yang terbaik bagi melayakkan diri ke kumpulan itu.

"Jurulatih kami amat tegas dan ia amat baik untuk memiliki jurulatih seperti itu.

"Dia sentiasa memberi tekanan kepada pemain agar dapat mengeluarkan yang terbaik daripada kami," katanya.