Marin Cilic percaya adalah menjadi tanggungjawab pemain untuk mengurus kalendar kempen mereka dan bukannya Jelajah Dunia ATP susulan Rafael Nadal menarik diri dalam aksi suku akhir Grand Slam Terbuka Australia malam tadi.

Nadal terpaksa menarik dri daripada saingan itu selepas bergelut dengan kecederaan kaki ketika Cilic mendahului 2-0 dalam set penentuan.

Dalam sidang media pasca perlawanan itu, pemain nombor satu dunia itu menyatakan jumlah kecederaan yang dialami oleh bintang sukan itu harus mendorong ATP untuk mempertimbangkan semula penjadualannya, terutama di atas permukaan keras.

Begitupun, Cilic yang akan menghadapi Kyle Edmund di peringkat separuh akhir tidak sependapat dengan rungutan lawannya itu.

"Kalendar seperti itu sudah berlangsung selama bertahun-tahun," kata juara Terbuka Amerika Syarikat 2014 itu. "Sepanjang tahun lalu, kita melihat ramai pemain ternama yang cedera.

"Kita semua perlu cuba untuk menjaga tubuh badan kita, cuba untuk memilih jadual yang betul, untuk memahami badan kita dan perasaannya. Saya faham terdapat banyak pertandingan wajib yang perlu kami sertai.

"Pada perspektif saya, kita semua yang menentukan jadual kita sendiri. Bukan mudah untuk mengatakan, 'baiklah, saya tidak akan terlibat selama dua bulan dengan mengetepikan banyak pertandingan', ini kerana tenis adalah sukan global.

"Di mana-mana sahaja kami bermain, orang mahu menikmatinya. Saya fikir tenis semakin popular sebagaimana yang kami hajati."

Cilic akan turun selaku pilihan ketika berdepan pemain di ranking ke-49 dunia, Edmund, namun pilihan keenam itu enggan leka dalam aksi separuh akhir kelimanya itu.

"Saya akan bersedia untuk menghadapi pertarungan seperti pemain-pemain lain," kata Cilic.

"Kyle mengharungi detik hebat di sini, banyak perlawanan yang sukar dihadapinya dan dia menampilkan aksi hebat. Aksi dia juga sangat menghiburkan, pukulan deras, servis kencang, pukulan yang bagus dan bermain hebat di atas gelanggang keras.

"Bagi saya, ini satu lagi peluang yang baik, jelas di atas kertas pertemuan dengannya mungkin lebih mudah berbanding menghadapi Rafa, namun dia sudah membuktikan bahawa dia layak untuk berada di peringkat ini," katanya lagi.